NOTA daripada seorang rijal, zauj kepada sahabat baik ,dunia dan akhirat saya.
Moga bermanfaat pada hati-hati yang ingin membangun mencari redhaNya. Inshaallah.
Nota Tarbiyah : Menunduk Pandangan
Oleh : BroHamzah
Suatu hari, ada seorang anak murid bertemu dengan murabbinya. Dia ingin meluahkan sesuatu permasalahan kepada murabbi yang disegani dan dihormatinya itu.
Saat itu, hatinya benar-benar gersang, hambar dan kaku. Setiap ibadah yang dilaksanakannya seolah-olah kering dan tidak meninggalkan kesan kepada hatinya. Kenikmatan dan kemanisan beribadah dan bermunajat jua semakin hari semakin hilang daripada kehidupannya.
Dia runsing, bimbang dan resah. Adakah dia sudah kehilangan cinta dan kasih sayang daripada Allah SWT. Ya, dia sentiasa konsisten dan istiqamah menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu, mendengar tazkirah mingguan dan pengisian-pengisian kerohanian.
Tetapi jauh di sudut hatinya, dia meronta-ronta.
“ Hati ini benar-benar kosong....”
“ Murabbi, hajat benar agar dapat membantu hamba ini,”Katanya lembut kepada Sang Murabbi yang dithiqahinya.
Air matanya mengalir. Sebak dan sayu. Dia merasakan seolah-olah sudah hilang segala keserian dan kehidupan yang membahagiakan. Matanya berkaca-kaca. Dia tertunduk di depan insan yang disayanginya.
“ Akhi, pernahkah anta merasai seperti saat ini, sebelum ini?,” Tanya Murabbinya.
“ Belum lagi ya Murabbi,” Jawabnya dengan nada perlahan.
“ Anta tahu, kadang-kadang jasad dan fizikal kita hadir ke dalam program-program pengisian ilmu dan tazkirah hati tetapi hati kita tidak dibawa bersama-sama. Hati tidak hadir ke dalam majlis ilmu, sedangkan sasar utama proses pensucian dan tarbiyah ini ialah hati. – Program berjalan tetapi proses tidak berlaku,” Kalam murabbi itu penuh tarbawi dan menusuk kalbu.
“ Jadi, sekarang ini apa yang perlu saya buat?,” Soalnya dengan penuh sinar pengharapan.
“ Tunduk pandangan dan peliharalah mata anta,” Kata murabbinya.
“ Hah! Kenapa pulak?,” Soalnya kepelikan.
Menunduk Pandangan
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan.”
( An- Nur : 30)
Di dalam buku Apa Ertinya saya menganut Islam, Dr Fathi Yakan telah menghuraikan berkaitan akhlak-akhlak yang perlu ada paa seorang muslim. Salah satunya ialah menundukan pandangan. Menundukan pandangan, bererti berusaha untuk mengalih pandangan, menutup dan dengan penuh sifat mujahadah dengan penuh keimanan, dan kerendahan hati daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah, kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke lembah kehinaan.
Dia akan bermujahadah daripada melihat perkara-perkara keji, kotor, jijik dan berbau dosa. Matanya dipelihara daripada perkara-perkara sebegitu. Kerana apa? – Pandangan mata akan memberikan kesan kepada hati. Setiap pandangan mata akan memberikan kredit kepada hati. Sama ada terbentuknya bintik-bintik hitam kerana dosa, atau menjernihkan hati dengan amalan kesolehan.
“ Dengan menundukan pandangan – anta akan dikurniakan oleh Allah suatu nikmat yang jarang-jarang diperolehi oleh manusia lain.” Kata Murabbi
“ Apa dia, wahai murabbi ?,” Katanya dengan penuh minat.
“ Allah SWT akan berikan nikmat dan kemanisan dalam beribadah. Anta akan merasai nikmat kekhusyukan di dalam solat!,” Katanya dengan lemah lembut.
Ya. Dengan menundukan pandangan, Allah akan berikan suatu nikmat yang sangat manis dan mahal. Kekhusyukan di dalam solat. Kerana, mata yang terpelihara dan terjaga – menjadi asbab hati, jiwa dan perasaan itu jernih, bersih, putih dan suci. Kesannya – ibadah solat akan terfokus, khusyuk dan membahagiakan.
Pratikal menunduk pandangan : Mustahil?
Boleh ke hendak menunduk pandangan. Rasa macam tidak logik. Hari ini, dimana-mana dan diserata tempat, terdapat banyak bentuk-bentuk kemaksiatan dan kemungkaran :
1)- Kota raya, - lihatlah bagaimana cara remaja-remaja berpakaian terutama perempuan. Sangat-sangat mengoncangkan iman dan mengiurkan perasaan. Pusing ke kanan, masyaAllah. Alih ke kiri juga, perkara yang sama. Di mana-mana tidak kira masa dan tempat. Setiap kali mata memandang, hati berdebar-debar rasanya.
2)- Kedai buku dan gerai majalah juga sama – lihatlah majalah-majalah picisan dan rendah moral yang berlambak dipasaran. Cover majalah yang mendedahkan segala-galanya. Sekali terpandang, tergugat hati dan seluruh jiwa raga. Macam-macam gaya yang diperlihatkan. Begitu juga dengan surat khabar yang ada sekarang. Iklan-iklan yang menggiurkan seringkali mencabar kelelakian dan keimanan yng bertahta di hati. Gambar-gambar yang didedahkan seolah-olah tiada unit tapisan dan diletak tanpa pemantauan undang-undang.
3)- Filem-filem dan drama-drama yang dihasilkan sama ada peringkat tempatan atau antarabangasa apatah lagi. Pastikan akan mendedahkan perilaku dan agenda-agenda membangkit syahwat, mengghairahkan nafsu dan merosakan keharmonian iman.
4)- Alam maya internet pun sama juga . Laman-laman website yang sentiasa mengganggu keharmonian ketika melayari internet sering muncul secara tiba-tiba, sangat-sangat mengejutkan iman! Ini tidak masuk lagi, yang gambar-gambar yang tidak soleh, separuh berpakaian dan aksi-aksi yang jijik dan kotor yang mudah dicapai di alam sesawang ini.
5)- Mesej-mesej berbau lucah dan video-video yang dihantar secara rambang ke handset kita selalu mengganggu ketenteram iman. Bisikan syaitan dan nafsu selalu – mengarahkan agar membukanya dan menikmatinya. Jadi bagaimana harus kita buat?
6) – Dan, banyak lagi. Semuanya ke arah kehancuran dan kemusnahan keimanan.
Jadi, bagaimana mahu memelihara mata? Sukar sekali.
“ Akhi, memelihara mata dan menunduk pandangan memerlukan sifat mujahadah nafsu yang sangat tinggi. Ia adalah bentuk jihad yang menuntut pengorbanan kejiwaan yang tinggi. Tetapi, yakinlah ganjarannya adalah sangat mahal dan tidak ternilai,” Murabbi meneruskan bicara kalamnya.
Menunduk pandangan bererti kita memelihara kehormatan dan kemuliaan diri. Keaiban-keaiban sebegini harus dijaga dan dicegah awal-awal lagi. Ingatlah sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu atau Allah menelungkupkan muka kamu.”
( Hadis riwayat At-Tabarani)
Menunduk pandangan, bagaimana hendak dibumikan?
“ Akhi, takutkan Allah SWT, banyakan mengingati mati dan bayangkan suasana hari Akhirat,” Kata murabbi lagi.
Perkara ini tidak akan berlaku tanpa, kekuatan keimanan. Ya imanlah yang akan menjadi dinamo, penggerak dan nadi utama segala bentuk tindakan kita.
Setiap kali, mempunyai peluang untuk melakukan bentuk-bentuk dosa dan maksiat – bayangkanlah episode-episod ngeri dan gelombang kedahsyatan sakaratul maut. Bayangkan bentuk kematian yang agar menimbulkan keinsafan dan kesedaran.
Dan, ketika jiwa dan hati dirundum kelesuan dan kelemahan – banyakan juga mengingati azab dan ancaman-ancaman yang akan Allah SWT berikan di hari akhirat kelak. Suasana-suasana hari kebangkitan yang digambarkan di dalam Al-Quran dan dijelaskan di dalam Hadis, mampu mengetuk hati dan meleburkan keangkuhan kita terhadap Allah SWT.
Petang itu, anak muridnya itu menangis sepuas-puasnya. Dia sedar akan dosanya. Barulah dia sedar bahawa selama ini, dia tidak begitu halus dan peka dalam soal penjagaan dan pemeliharaan matanya. Selama ini, matanya telah menyebabkan hati dan jiwanya kosong dan hilang kemanisan di dalam beribadah.
“ Murabbi, terima kasih banyak-banyak. Saya sedar dan insaf. Bimbinglah saya, Murabbi. Pandulah aya murabbi. Saya tidak mahu kehilangan Allah SWT di dalam diri saya. Saya tidak mahu kembali seperti zaman kejahiliyah saya dahulu,” Katanya tersedu-sedu di hadapan pembimbingnya.
Kata-kata murabbinya masih basah.
Ia sangat berkesan di hati dan menyentuh perasaan keinsanannya.
“Dengan memelihara pandangan daripada perkara-perkara keji, jijik, mungkar dan berbau dosa - Allah SWT akan campak satu kenikmatan yang jarang-jarang manusia perolehi. Iaitu : Nikmat Kekhusyukan dalam solah!”
Ya Allah, bantulah diri ini dalam memelihara pandangan dan mata kurniaan-Mu ini.
Berikanlah aku kekuatan Ya Allah untuk mengharungi kehidupan yang dipenuhi gelombang maksiat yang dahsyat. Ingin aku harungi kehidupan ini dengan keimanan seharum semerbak kasturi.
Ameen.
No comments:
Post a Comment