Sunday, July 5, 2009

AIR MATA MALEK NOOR

myMETRO (05072009)
ABIE ABDULLAH


"Malu ke berkawan dengan orang yang mengakui kesilapan? Saya yang sepatutnya lebih malu kerana kealpaan saya selama ini terhadap suruhan-Nya, tetapi Allah Maha Penyayang, menerima saya seadanya," kata Abdul Malek Mohamed Noor ketika Selebriti berkunjung di kediamannya di Desa Pandan, Kuala Lumpur, Rabu lalu.


Malah, kata bekas juara enam kali bina badan Asia ini, pendedahan seperti itu sangat penting sebagai teladan buat kita semua dan dia rela menjadi contoh itu. Bukan mahu menunjuk-nunjuk. Biarlah apa orang nak kata, dia akur kerana tahu hikmah Allah atas segala yang terjadi.

Bukan saja negatif, Malek menerima banyak pujian atas keberanian itu. Bukan meminta, tetapi itulah antara hikmah-Nya. Katanya, seorang peminat yang menetap di United Kingdom kagum dengan perubahan Malek dan menjadikannya sebagai contoh kerana peminat itu juga seperti Malek, sering merantau ke negara bukan Islam.

Sebenarnya sejak 2002 lagi rutin perjalanan hidup Malek Noor bertukar. Sibuknya mencari nama dan rezeki selama tiga dekad sebelum itu membuatkannya lalai akan tanggungjawabnya sebagai Muslim. Dari usianya 12 tahun sehinggalah 46 tahun, dia tidak pernah menunaikan solat lima waktu sehari dan jauh sekali untuk berpuasa pada Ramadan.

"Saya alpa akan semua tanggung jawab itu. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong lebih 30 tahun untuk mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai. Besarnya dosa saya dan tidak pernah mensyukuri nikmat yang diberi-Nya," katanya.

Pintu hatinya terbuka pada satu hari pada 2002. Suara azan yang selama ini tidak dipedulikan tiba-tiba menyentap jiwanya. Azan Isyak berkumandang dari masjid KLCC berhampiran penthousenya menjadikan hatinya sayu.

Ketika itu pelbagai perasaan bergaul, membuatkan dia tidak senang duduk. Sedih, ngeri dan seram! Puas berpusing di dalam rumah, tetapi hatinya terus tidak keruan. Dia menangis sesungguhnya seperti seorang bayi kerana kebuntuan itu.

"Lalu saya menghubungi kakak bertanyakan mengapa ini terjadi dan dia suruh saya mengambil wuduk dan terus sembahyang. Alhamdulillah, saya peroleh sedikit ketenangan selepas itu. Saya duduk sambil berfikir, bisik hati kecil saya, ini mungkin seruan Allah.

"Dalam usia 46 tahun ketika itu, saat itu yang membuatkan saya paling bahagia.

"Bayangkan selama ini, lihat siaran azan di TV, saya tukar saluran lain. Kalau dengar pun, saya tidak beri perhatian langsung, malah lebih rancak berbual," katanya walaupun pernah melaungkan azan ketika berusia 12 tahun.

Sekarang lain. Selain menghormati bunyi azan, pelakon filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan Sahabat ini tertunduk kerana sayu dengan melodi panggilan sembahyang itu.

Sejak hidayah itu, pelbagai mimpi aneh mendatangi tidurnya. Antaranya arwah ibu, Jariah Ahmad yang datang menabur bunga emas kepadanya dan lapan bulan lalu ketika membaca al-Fatihah, satu suara muncul menyatakan akan membantunya.

Percaya atau tidak, Malek kini boleh mengubat orang. Malah, pertemuan dengan 'seseorang' empat bulan lalu juga membuka ruang untuk Malek menolong mereka yang memerlukan melalui syarikat Great BioEnergy, sejenis minyak yang mampu membuang toksik, memulih tenaga serta melancarkan perjalanan darah.

Dalam menuju perubahan hidup ini, Malek berterima kasih kepada Ustaz Hadi dan Ustaz Habin (kedua-duanya dari Kelantan) yang banyak membantunya sehingga hari ini.

Rancangnya untuk ke Makkah tahun depan. Baik umrah mahupun haji, dia berserah kepada Allah. Bagaimanapun bukan kerana pangkat, nama, status, glamor atau disuruh kawan. Ini panggilan Allah!

"Saya cuma merancang, Dia yang meletakkan segala-galanya. Saya hanya mampu berdoa dari hati yang suci semoga memperoleh keberkatan-Nya kerana hanya Dia lebih tahu yang terbaik untuk makhluk-Nya.

"Allah sudah tentukan takdir seseorang, tetapi dia suruh kita sembahyang dan berdoa menadah tangan meminta apa yang kita mahu. Dia Maha Memberi, saya percaya Allah akan memberi apa yang kita hajati asalkan kita tidak putus asa memohonnya.

"Saya semakin faham kini mengapa Allah suruh kita sembahyang dan berdoa, kerana Dia menyayangi kita.

"Islam ini indah, penuh perincian. Nak jadi Islam nampak mudah, tetapi bagaimana nak berjiwa dan berhati Islam sejati. Saya pun bukan lengkap lagi, masih terlalu banyak untuk saya dalami ilmu Allah untuk mengenali-Nya," katanya.

Selain jiwa yang aman, berpindah ke kediaman yang pertama dibelinya di Kuala Lumpur pada 1987 menambah lagi ketenangan yang dicari. Jauh daripada kesibukan kota berbanding kondominiumnya yang berdepan KLCC.

Menurut Malek, barang dalam rumah itu masih seperti dulu. Sedikit pun tidak berubah, kecuali satu sudut dinding yang dihiasi ayat suci Al-Quran. Emper mewahnya itu disewakan.

Turut dibualkan petang itu adalah perkembangan semasa, terutama gejala sosial. Pembunuhan yang tidak mengenal ihsan, rogol, sumbang mahram, bohsia dan sebagainya meruntun hatinya.

"Saya jadi ngeri dengan paparan berita seperti ini. Saya tengok ramai tidak sempat bertaubat dan ada atuk berusia 60, 70 tahun masih minum arak. Saya tidak mahu menghakimi mereka, sekadar meminta Allah membuka hati mereka dan menjauhkan semua itu daripada saya.

"Tuhan banyak memberi ujian kepada saya selama ini untuk menguji sejauh mana kesabaran kita. Begitu juga Dia tidak beri terus apa yang kita minta tetapi perlahan-lahan, juga kerana nak tengok kesabaran kita," katanya.

Kata-kata Malek tiba-tiba tersekat-sekat, nadanya bertukar sebak diiringi air mata jantannya.

"Saya masih dalam ketakutan. Tidak semestinya ke Makkah atau buat Haji, kita terus ke syurga. Kalau sembahyang pun, belum tentu terus ke syurga. Jika berkopiah pun bukan bermakna kita alim.

"Namun saya hanya berdaya untuk meminta yang terbaik untuk diri saya.

"Kalau saya diberi peluang untuk kembali ketika baru keluar dari rahim ibu, saya akan cuba menjadi sebaik-baik manusia yang beriman kepada-Nya. Namun saya bukan nabi yang maksum!

"Apa yang saya lalui selama ini belum cukup, syaitan lagi kuat menggoda sebab itu janjinya kepada Allah untuk menyesatkan lagi manusia yang taat kepada Allah, yang sembahyang dan berpuasa," katanya sambil mengesat air jernih itu.

Katanya, pernah tahun lalu ketika di Phuket, dia termakan ayam yang tidak disembelih. Sebaik tahu hal itu, dia terus mengorek mulut untuk memuntahkannya sehingga dia jatuh sakit.

"Saya bukan baik sangat, tetapi pengalaman saya ini mampu untuk kita renung bersama," katanya yang baru selesai berlakon telefilem Damak arahan Zulkiflie M Osman.

Mengenang zaman 'nakalnya', Malek sedar apa yang dilakukannya salah. Bukan saja menghalalkan makanan dan minuman haram, tetapi lebih daripada itu. Pernah dia mengunjungi gereja di Denver, Amerika Syarikat untuk melihat 'kekuatan' di sana, tetapi dia akur dengan kekuasaan Allah.

Memang hatinya sentiasa menyebut nama Allah tetapi secara praktiknya, dia tidak mengamalkan. Sama juga ketika menyertai pertandingan bina badan dari 1985 hingga 1991. Sedar sangat akan haramnya membuka aurat, apatah lagi hanya berseluar dalam di atas pentas.

Pun begitu, kata Malek, dia tidak mahu pandangan isi hatinya disalahertikan oleh mana-mana pihak.

"Kita memang tahu salah, seperti saya juga, tetapi demi minat dan sumber pencarian, saya teruskan juga. Saya pemalu tetapi gagahkan juga demi nama dan status, cuma saya sentiasa berharap tidak terus terpesong.

"Setiap kali tamat pertandingan, saya terus meluru ke belakang pentas mengenakan pakaian. Saya malu! Saya cuma sasarkan enam kali juara dan saya dapat. Kalau anda perasan, saya hilang selepas 1991 sehingga sekarang daripada pertandingan heavyweight," katanya.

Cerita Malek, dia bukan orang yang layak untuk memberi nasihat, tetapi harapnya pendedahan ini membuka hati mana-mana individu.

"Saya bertuah kerana dibukakan hati sebelum terlambat. Harapnya hati ini terus diberikan kekuatan untuk beriman kepada-Nya.

"Segala apa yang saya lalui selama ini tidak saya kesalkan kerana itu aturan Allah sehingga saya berubah kini. Lebih bermakna dan nikmatnya kalau kita melalui perubahan yang positif.

"Kejujuran dan keikhlasan antara kemuliaan seseorang insan. Saya bangga mengakui kesilapan lalu buat renungan bersama," katanya yang kini mempunyai seorang anak angkat.

Menyentuh mengenai hasratnya untuk berumahtangga, Malek tersenyum sambil berkata: "Ramai yang mencuba, tetapi saya serahkan kepada Allah. Kalau ikutkan hati, saya mahu wanita yang solehah."


notes: sambungan pada entry penghijrahan malek noor + caption pada gambar "PERNAH seorang kenalan bertanya, tidakkah dia malu mengakui kesilapan lalu dan mendedahkan di akhbar? Cuma satu jawapannya, dia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada manusia lain."

2 comments:

Naqiah Khalidah said...

PERNAH seorang kenalan bertanya, tidakkah dia malu mengakui kesilapan lalu dan mendedahkan di akhbar? Cuma satu jawapannya, dia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada manusia lain."

i agree..

rAbiAtuL aDaWiyAh said...

sy setuju juga. ;)
moga malu kita semakin tebal kepada ALLAH..mudah2an..insyaallah.