Serasa macam dah berkurun abad tak menulis dekat blog usang ni.
Terpanggil pula nak berkongsi kisah permata hatiku. Tapi semacamnya akan
bersambung – sambung bergantung kepada kadar kenyenyakan tidur permata hatiku.
Terbangun dia atau penat sudah Umi menulis maka kita sambung cerita di episode
seterusnya ya. Macam la ramai orang nak baca pon. Hehe..
Sejak mendirikan rumahtangga bersama cinta hati, terasa seolah begitu
pantas masa berlalu ditambah pula dengan amanah yang diberi oleh Allah di saat
usia perkahwinan kami baru saja menginjak ke angka satu bulan. Kata orang tua,
saya bunting pelamin namanya. Alhamdulillah rasa kesyukuran kami panjangkan ke
hadrat Ilahi … tapi masih boleh ingat lagi hari saya buat sendiri pregnancy
test. Masa tu saya duduk berasingan dengan suami yang bekerja. Pagi tu suami
sms dan beri keizinan untuk saya buat ujian kehamilan tanpanya. Saya akur meski
masa tu berteka – teki dengan keadaan kesihatan diri kerana beranggapan saya
hanyalah penat. Dicapai alat tersebut dan hasilnya …
Terketar – ketar badan saya dibuatnya melihatkan dua garisan di alat
pregnancy test tu.
Sah!
Sudah Allah tiupkan amanah ke dalam rahim kecil ku ini. Amanah membawa
seorang lagi khalifah Allah ke atas muka bumi ini.
Perasaan? Ada gembira dan ada gementar. Saya tak tahu mana yang
menguasai masa tu. Yang saya ingat saya duduk di tepi masjid sebab cari line
telefon dan hubungi suami di sana untuk maklumkan. Sambil itu berlinangan air
mata.
Kami sepakat untuk merahsiakan terlebih dahulu perkara ini sehingga
saya bertemu doktor dan mendapatkan kepastian yang sahih daripada pakar. Masa
ni tiada apa yang pelik dengan keadaan diri saya kecuali badan merasa sangat
letih dan acap mahu tidur saja. Orang kedua yang saya maklumkan berita ini adalah
Maryam, sahabat baik saya. Tergelak kecil dia dan teruja sambil berkongsi kata
– kata janji Allah buat para ibu mengandung. Sejuk hati saya dan reda kembali
perasaan gementar sebentar tadi.
Kehidupan diteruskan seperti biasa tanpa sesiapa tahu hingga saat usia
kandungan sudah pon hampir mencecah ke angka sebulan lebih bila alahan loya dan
muntah saya jadi semakin teruk.
[Bersambung … ]
No comments:
Post a Comment